jom jadi kawan saya

Friday 27 July 2012

Tragedi Ramadhan


Rumah sewa yang terletak di kawasan perumahan awam kelihatan tenang daripada luar. Nampak seperti tak berpenghuni.

“Mana semua orang ni? Takkan pagi-pagi lagi dah keluar kot?” desis hati Deng keraguan. Semalam lagi aku dah sms bagitahu yang akan sampai jam 11 pagi. Mesti tengah tidur lepas bersahur laa tu. Perangai tak pernah berubah.

Rakan serumah yang berdua itu memang sudah di fahami sangat kerenah masing-masing. Apa taknya, berkongsi rumah hampir empat tahun dan syukur Alhamdulillah, tiada sebarang pergeseran selama tempoh waktu itu.

Perlahan-lahan, kunci dicucuk ke tombol tembaga. Daun pintu coklat keemasan ditolak perlahan, tidak mahu rakan serumah terbangun. Bimbang refleks Uci dan Oyie melibas atau membalingnya dengan apa yang ada. Bukan tak pernah kena baling dengan baldi gara-gara disangka pencuri. Mentang-mentang laa seorang belajar silat dan seorang lagi taekwando, nak tunjuk handal pulak dengan aku yang setakat handal pegang mixer dan spatula je.

“Lain kali, kalau balik kursus awal, bagitahu kitorang. Bukan main terjah aje macam ni” bebel Uci bila kayu mop yang dilibas hampir-hampir terkena muka Deng dan seluruh ruang tamu basah dek balingan sebaldi penuh Ajax oleh Oyie bulan lepas. Urut dada je aku mengenang kerenah kawan berdua tu.

“Macam mana aku nak bagitahu kalau rumah ni bising sangat dengan lagu KPop korang tu? Aku dah cuba call banyak kali laa. Pergi tengok phone korang” geram pulak bila tak pasal-pasal aku yang dipersalahkan.

“Kau ada call ke? Alaa, jangan laa marah. Kau bukan tak tahu yang semenjak dua menjak ni, dah banyak rumah kena pecah masuk. Takut jugak kalau-kalau kita yang terkena” ujar Uci membela diri sambil Oyie terangguk-angguk membenarkan kata sahabat yang seorang.

Memang satu kebenaran pun. Sejak akhir-akhir ini, dah banyak sangat rumah kena pecah masuk. Baik juga yang hilang cuma duit dan barang. Kalau nyawa yang melayang, harus kami cari rumah lain saat tu jugak.

Saat kaki menjejakkan tapak ke ruang makan, terlihat sisa pinggan yang masih berbaki di dalam sinki. Cuma ada sepiring kurma di bawah tudung saji.

“Dah sah tengah tidur laa perempuan dua orang ni” akalku merangka pelan strategik nak kejutkan diorang. Perlahan-lahan aku menuju ke bilik Uci. Macam mana anak dara tidur ni, pintu pun tak berkunci? Jaga laa korang.

“Maa rabbuka?? Siapa Tuhan kamu??” ujarku separuh berbisik. Betul-betul di telinga Uci.

“Ermmmm..” aik, boleh dia palingkan badan? Kena buat betul-betul nih.

“Maa rabbuka?? Siapa Tuhan kamu??” suara ku kuatkan tapi masih dalam nada berbisik.
Dengan mata yang terpejam, aku mendengar dengan jelas suara Uci bertanya.

“Siapa yang tanya tu? Aku ni dah mati ke?” rasa nak terburai tawa mendengar soalan kurang cerdik seorang fashion designer di butik yang terkenal. Takut jugak kau bila pasal mati ye. Mati-mati aku ingatkan Uci terus bangun tapi ada lagi jawapan yang membuatkan aku sakit jiwa dan raga.

“Erm, takpe laa. Kalau mati pun, ni kan bulan puasa. Munkar Nangkir tengah holiday! Nanti dah raya laa aku jawab soalan tu” astaghfirullah budak seorang nih! Terdengar dengkuran kecil tak lama kemudian.

Owh, kau tak nak bangun ye. Baik aku cuba Oyie pulak. Mana tahu kalau nasib aku baik, dia boleh bangun. Apa laa malang nasib aku dapat teman serumah liat nak bangun pagi ni?! Menggunakan taktik yang sama, aku berbisik ke telingan Oyie sambil menahan gelak.

“Maa rabbuka??” berusaha keras aku mematikan diri bila Oyie tiba-tiba mendepangkan tangan. Baik tak kena sepuk muka aku yang suci. Hish, budak ni!

“Siapa nenek kamu??” percubaan kali kedua membuatkan Oyie bertindakbalas dengan soalanku.

“Nenek kat kampung laa” boleh pulak kau main-mainkan nenek kau ye? Nanti aku report kat dia!

Ish, tak boleh jadi ni! Kata semalam nak keluar pukul 11 pagi sebab taknak bersesak-sesak dengan orang ramai tapi sekarang melekat lagi kat atas katil. Buat penat je aku berkejar balik sini cepat-cepat. Haa, siram air! Tapi kalau aku siram air nanti, aku balik yang kena marah. Macam mana ni?

Mundar mandir aku memikirkan alternatif yang sesuai dan berkesan nak kejutkan dua anak dara ni. Kalau aku bagi renjatan elektrik ok kot? Tapi, macam kejam sangat laa pulak. Buatnya terlebih voltan, giliran aku pulak yang ke penjara duduk atas kerusi elektrik nanti. Tidakkk!!!

Aduh, kenapalah korang ni liat sangat nak bangun haa?!

Haa, aku rasa aku dah tau cara senang nak bangunkan budak yang dah terlebih layak jadi mak budak ni.

“Uci, Uci.. cepat laa bangun. Darius ada kat depan tu! Bangun cepat!” sampaikan katil dia pun bergoyang sama menandakan tahap goyangan aku nak kejutkan dia dah sampai tahap maksimum.

“Haa, Darius??? Kenapa tak bagitahu awal-awal?? Kau ni selalu laa” haa, kan aku dah kata, taktik yang ni menjadi. Melompat Uci capai tuala meluru ke bilik air. Dah selamat dapat kejutkan sorang. Sorang lagi nak kena bangkitkan.

“Assalamualaikum. Cik kak Oyie sayang, Loy awak ada kat depan tu. Dia kata, kalau dalam masa lima minit awak tak siap jugak, dia tinggalkan awak. Cepat bangun” kataku sambil menepuk punggung Oyie kuat. Terus dia terduduk walau masih terpisat-pisat.

“Haa, Loy?? Dia bukan dah balik kampng ke kelmarin? Dia tipu aku ek. Nak kena laa dia nih” kain sal disambar menuju ke bilik air di belakang. Huh, macam ni rupanya cara tercepat nak kejutkan korang rupanya.

Dalam pada menunggu dua Sleeping Beauty bersiap, aku membelek-belek majalah di ruang tamu. Berkira-kira bajet yang akan dikeluarkan nanti. Baju, tudung, kasut… baik jangan fikirkan sangat kalau tak mesti senarai tu takkan berhenti.

Tinggal lagi seminggu je nak raya, persiapan keluarga di kampung dah selesai disiapkan. Tinggal kelengkapan untuk diri sendiri je yang belum lagi. Baru empat mukasurat diselak, dah tercongok budak berdua ni depan aku.

“Mana Dariusnya? Tak ada pun. Kau tipu kitorang ye?” Uci buat muka tak puas hati.

“Ha ah laa. Tak ada pun Loy. Melampau kau ye nayakan kitorang” sampuk Oyie dengan muka kesian. Owh, yang diorang nayakan aku tu, taknak kira pulak ye.

“Idea siapa semalam yang suruh aku balik sini awal sebab nak shopping barang raya? Kau kan?” telunjukku lurus ke arah Uci

“Cadangan siapa yang suruh aku tiba kat sini sebelum pukul 11? Bukan kau ke?” jariku beralih ke arah Oyie. Kedua-duanya terpaku sambil tersenyum sumbing.

“Dan kata-kata siapa semalam yang dengan berlagaknya kata tak ada masalah nak siap awal?” tanyaku berdiri sambil tangan bercekak di pinggang.

“Alaa, jangan laa marah kitorang Deng. Kau kan partner sehidup serumah, sejiwa sejantung dengan kitorang. Puasa ke tak ni, nak marah aje?” tiba-tiba je Uci meleser dengan aku. Konon nak pujuk laa tu. Huh!

“Ha ah laa Deng. Tak baik tau marah-marah time puasa ni. Nanti kurang pahala. Ok, kita gerak sekarang ye. Dah dekat tengahari ni” pandai pun korang pujuk aku aku.

Baik laa aku ni berjiwa penyayang lagi pemaaf orangnya tau.

Sampai kat shopping complex, seperti yang dijangka. Orang tak laa ramai sangat. Boleh laa nak pilih memilih macam permaisuri. Amboi, berangan tak ingat kau ye Deng! Uci dan Oyie awal-awal lagi dah hilang entah ke mana. Takpe laa.

Janji jumpa balik pukul 1 nanti. Aku pun bukannya nak beli apa sangat. Kalau tak ada yang berkenan, pakai aje baju tahun lepas. Apa susah? Lagipun, bukannya budak kecil lagi wajib nak kena ada baju baru tiap kali raya.

Belek punya belek, tiba-tiba aku perasan macam ada seseorang yang memerhati. Sungguh rasa tak sedap hati. Kenapa pulak ni? Melingas aku menebarkan pandangan ke sekeliling.

“Haaahh!!” sergahan Iskandar buat aku terkedu dan kaku untuk empat saat. Bila otak stabil kembali. Ringan je tangan aku debik belakang dia.

“Aduh, sakit laa woi!” haa, tau pun sakit. Lain kali buat laa lagi. Aku menjeling tak berkata.

“Tak baik tau layan saya macam ni. Jauh-jauh saya mengekor awak, awak tak ada apa-apa nak cakap kat saya ke?” rimas betul aku dengan dia ni laa. Layan tak layan, sama je menyakitkan hati.

“Siapa yang suruh awak mengekor? Pergi laa buat kerja. Orang nak beli baju raya pun tak senang!” aku merengus. Satu tahap je lagi nak jadi naga.

“Tak baik marah-marah kalau puasa. Nanti pahala kena potong. Hehe” dia ingat puasa ni macam markah periksa ke boleh main potong-potong?

“Kalau awak tak kacau saya, tak ada laa saya marah” sambil kaki laju menuju ke arah kemeja. Alang-alang dah murah, baik beli sekali baju pejabat.

“Eh, awak beraya pakai baju tu ke? Bajet awak ciput eh? Meh, biar saya belanja awak” ish, loratnya dia ni! Rasa nak je aku bagi sebijik tapi tak patut laa pulak rasanya. Ini kan bulan puasa. Perghhh, besar sungguh aura Ramadhan ni.

“Bukan pasal bajet laa. Dah alang-alang ada duit, ada masa. Beli je laa sekali harung. Tak payah nak datang-datang lagi” itupun tak tahu ke? Jimat itukan amalan mulia.

“Hmm, tapikan saya rasa tak payah kot beli sekarang sebab nanti lepas dua minggu raya, takut-takut segala lemang, ketupat, rendang semua tu tersangkut kat pinggang. Lari semua cutting M awak tu. Tak takut ke orang kata awak pakai baju adik awak?” bila kata-kata penghinaan dilontarkan dengan mimik muka yang jelas mengejek, membuatkan rasa nak je aku humbankan hamba Allah kat depan aku ni dalam Perigi Hang Tuah.

“Woi, aku anak bongsu laa. Mana ada adik!” bulat mata aku terjegil yang membawa maksud sudah cukup sudah. Cukup sampai di sini saja. Eh, itu lagu daa! Arghh, aku tak kira. Motif sebenar, jangan kacau aku nak shopping.

Mana pulak budak dua orang ni tak muncul-muncul lagi. Tambah hangat rasa hati.

“Eleh, itupun nak marah. Dah laa, jom saya belanja awak baju. Tak payah nak berkira sangat. Lagipun saya yang suruh Uci dengan Oyie paksa awak balik sini hari ni. Kopak saya ni nak bagi upah kat diorang kalau awak jadi balik tau” panjang lebar pulak penerangan tunang aku yang sorang ni. Owh, dia punya kerja rupanya.

Hmm, misi menjimatkan duit sendiri mula dirangka. Dia yang nak belanja kan? Bukan aku yang mintak. Hampir penuh tangan aku mengangkut hanger. Dengan Isfahan sekali kena jadi assistant aku pegang baju sebab fittingroom tak boleh bawak lebih tiga helai baju untuk dicuba.

“Ya Rabbi!” besar biji mata Isfahan bila belek jam di tangan. Masa untuk mencuba saja dah dekat setengah jam.

“Yang kat dalam stor diorang awak taknak cuba ke?” cet, perli aku laa tu.
Konon aje nak jumpa balik pukul satu, sudahnya dekat pukul 2.30 baru Nampak batang hidung perempuan berdua tu.

“Yang korang ni lambat sangat kenapa?” rasanya darah aku dah sampai tingkat 18 kot bila tengok diorang masih tersengih-sengih. Bukannya rasa bersalah!

“Bukan kitorang sengaja, tapi tadi kitorang Nampak kau dengan Is. Taknak kacau daun. Dah habis beli barang belum? Nak balik masak lagi ni. Hari ni aku nak masak red velvet” pandai betul si Oyie ni tukar topic. Topik yang aku payah nak marah pulak tu.

“Dah, jom balik” dengan segera kami beredar sementelah lagi Zohor belum ditunaikan.

Setibanya kami di rumah, masing-masing melakukan kerja yang telah dipersetujui disiapkan bersama. Aku dan Uci memasak hidangan utama manakala Oyie melakukan kepakarannya iaitu kek.

Selalu juga kek buatan Oyie mendapat tempahan daripada jiran-jiran. Memang sedap sangatlah. Nak pula kalau kena dengan cream cheese yang sejuk beserta hiasan yang menarik.

Ish, mengenangkan kek si Oyie ni, terasa lambat sangat laa pulak jarum jam bergerak. Menu kami hati itu agak ringkas. Ikan tenggiri goreng sambal, kobis masak lemak dan ikan pekasam.

Selalunya jadual berbuka kami hanya dengan sebiji kurma, sepotong kuih atau kek dan segelas air. Selepas solat Maghrib, kami akan menjamah dulu hidangan ringkas seperti rojak atau murtabak yang selalu kami beli saja di bazaar ramadhan. Selepas Isyak dan terawih di masjid berdekatan, barulah kami akan makan nasi.

“Weh, cepat laa sikit. Dah nak masuk waktu ni” wajah basah Uci selesai berwudhuk membuatkan aku dan Oyie bergegas bersiap. Selesai Maghrib di rumah, kami menuju ke surau bersaing dengan segerombolan makcik yang bertujuan sama.

“Sekarang ni, lagi macam-macam hal. Bulan puasa nak kena tambah pahala, tapi si pencopet ni asyik nak tambah dosa” kata makcik Esah penuh semangat.

“Apahal pulak ni kak Esah?” sampuk makcik Lijah sambil membetul-betulkan telekung.

“Kelmarin, rumah Kak Yah Seman kena pecah masuk. Habis barang-barang rumah disapunya!”

“Wah, makcik Esah ni marah macam rumah dia pulak yang kena pecah” ujar Kak Lin Debab.

“Iye laa, kalau dah habis barang satu rumah orang tu dirembatnya, macam mana si Yah tu nak bayar hutang kain aku?” hmm, patut laa. Dia risaukan duit dia rupanya.

Masjid makin hampir. Kami menuju ke saf yang terhadapan. Lagipun waktu-waktu begini, tak ramai wanita datang berjemaah di masjid. Imam yang bertugas hari ini pun ringkas orangnya. Suara pun sedap. Ish, ni nak solat ke, nak komen suara imam? Astaghfirullah.

“Jom laa balik. Lagi lama kat sini, lagi banyak dapat dosa kering. Kesian kat baldu merah aku tu.. dah rindu sangat kat dia” si Oyie ni memang tak suka kalu ada mesyuarat geng cik Kiah ni. Mesti dia beredar secepat mungkin.

Punya laa laju Oyie berjalan, sampai nak semput aku dengan Uci kejar. Bertuah punya budak. Tak cukup-cukup ke buat kek redvelvet tu sampaikan tak menyempat-nyempat nak telan?

“Allahhhhhhhhhh!!!!” suara nyaring Oyie buatkan aku dengan Uci berlari selaju yang boleh mendapatkan dia. Tetapi tiba je kami kat depan pagar, aku pun sama melaung jugak. Pintu rumah ternganga lebar lagi menandakan giliran rumah kami pulak yang dipecah masuk. Macam mana ni??!

“Eh, eh.. aku call polis kejap. Jangan masuk dulu. Manatau dia ada lagi ke kat dalam. Tunggu, tunggu” sambil Uci membuat panggilan, aku cuba meninjau-ninjau ke dalam rumah tapi hampa sebab tak Nampak apapun. Gelap gelita.

“Aku dah call Iskandar sekali. Kejap lagi dia datang.” Aku sekadar mampu mengangguk kepala. Dalam hati taklah risau tahap langit ketujuh sebab mana ada barang berharga sangat dalam rumah tu. Tapi jangan laa hilang barang-barang raya yang kitorang beli tadi. Nangis woo kalau nak kena beli balik.

“Bila polis nak datang?” suara Iskandar mengejutkan aku dari mengelamun panjang.

Bila masa dia sampai pun aku tak sedar. Jawapan yang dibiarkan tak berjawab membuatkan Iskandar terus masuk ke dalam rumah membuka lampu. Melopong mulut Uci bila melihat keadaan rumah yang bersepah. Setelah pasti memang tiada penceroboh di dalam rumah, barulah kami berani nak periksa bilik.

Alhamdulillah, tiada apa yang hilang. Cuma aku pelik, rasanya aku pergi shopping tadi ada lima paperbag. Kenapa tinggal tiga aje? Periksa punya periksa, dah sah baju raya aku dan Iskandar yang kami beli sedondon untuk raya nanti dah kena kebas.

“Awak, sorry laa. Baju raya kita dah hilang” wajah Iskandar yang cuak menjadi kendur seketika.

“Ada apa-apa lagi yang hilang tak?” aku geleng kepala laju-laju.

“Dengggggggg!” jeritan Oyie dari arah dapur membuatkan aku melangkah kaki pantas ke sana.

“Apsal?” aku ingatkan barang-barang buat kek dia dah lesap tapi..

“Kurang asam punya pencuri!!!” bukan main marah lagi ratu kek seorang ni. Bila dia perasan aku, Iskandar dan Uci ada di dapur, dengan pantas dia menghulurkan sekeping kertas.

~MINTA MAAF. BUKAN SAYA SENGAJA NAK MENCURI. SAYA TERPAKSA. TAPI RUMAH AWAK TAKDE APA-APA. JADI SAYA TERPAKSA AMBIL KEK AWAK YANG SEDAP TU. LAUK YANG LAIN SAYA TAK SELERA. BAJU RAYA AWAK PUN SAYA TERPAKSA AMBIL. TERIMA KASIH. MOGA AWAK DIMURAHKAN REZEKI. INIKAN BULAN PUASA, KALAU AWAK HALALKAN, AWAK DAPAT PAHALA, SAYA PUN TAK BERDOSA. PEACE!~

“Eii, geram betul aku dengan pencopet tak sekolah ni laa. Kalau aku dapat, siap dia aku lipat” kata Uci penuh emosi. Kertas beralih tangan ke tangan. Akhirnya tiba ke tangan Iskandar. Baca punya baca, dia boleh bantai gelak pulak.

“Hmm, korang halalkan aje laa. Betul jugak budak ni tulis. Tapi report polis tu wajib. Kalau tak, rumah orang lain punya dia kerjakan” lepas selesai polis ambil keterangan kami di rumah, Iskandar pulang dengan janji akan datang pagi-pagi esok. Sempat aku ingatkan dia supaya jangan bagitahu pada siapapun hal kecurian. Taknak hal jadi lagi kecoh.

Malam tu, kami tidur sebilik sambil bercerita hal pecah rumah yang terkena pada kami pula kali ini.

“Aku rasa mungkin sebab dah tiga minggu puasa ni, aku belum sedekah lagi kot? Tu pasal laa kek aku kena rembat. Melepas betul nak makan kek mewah tau” luah Oyie dalam nada kesal.

“Ha ah laa, aku pun kurang sangat berderma tahun ni. Sibuk sangat menjahit baju orang sampaikan baju sendiri pun beli siap aje. Agaknya ini peringatan Tuhan untuk kita laa. Esok pepagi aku nak derma sikit kat tempat biasa” dah jadi tradisi Uci derma kat Rumah Anak-Anak Yatim Az-Zahrah. Baguslah kalau diorang ingat macam tu.

“Hmm, aku rasa sebab aku ni over acting kot nak baju sedondon laa konon dengan Iskandar tu. Padahal, tunang je pun. Kalau macam ni laa peringatan untuk aku, nak kahwin cepat laa. Esok aku nak cerita kat Iskandar. Mesti dia sokong aku punya” siap aku genggam tangan erat-erat tanda keazaman yang kukuh dalam hati.

BUPPP!! Dua biji bantal kusyen sampai kat muka tanda tiada sokongan daripada sahabat baik aku yang berdua tu. Takpe laa, raya kan seminggu lagi. Hehe. Dalam hati rasa lega kerana kami tak apa-apa. Selamat berpuasa dan berhari raya. Jangan lupa pada yang tiada dan kurang mampu.