jom jadi kawan saya

Monday 18 June 2012

Aku, Kau, Dia & Kpop

Kelas Puan Aida habis awal petang tu. Cepat-cepat Locoi kemas buku dan kertas yang bersepah atas meja. Niat di hati nak tunggu Anjie di kafe. Dah selalu sangat budak tu bising kata aku lambat. Dah lecturer habis kelas lambat, nak buat macam mana? Takkan aku nak marah pensyarah semata-mata nak lepak dengan satu-satunya kawan perempuan yang aku ada kat kolej tu.

Tergesa-gesa kaki melangkah sebab tak mahu dikatakan lembap lagi. Mulut perempuan seorang tu bukan boleh sabar sikit! Bisik Locoi perlahan dalam hati.

Tiba di kafe, Locoi urut dada tanda lega ya amat sebab langsung tak ada kelibat Anjie kat mana-mana meja yang tersusun kemas dalam kafe kolej. Cepat-cepat dia ambil tempat yang paling hujung dan membelek-belek nota kuliah tadi. Konon-konon dah lama sampai lagaknya.

Tak sampai sepuluh minit dia berlakon jadi tugu negara kat situ, tiba-tiba sebeban buku dihempas atas meja.

“Weh, aku ada video baru nak tunjuk ni. Best giler!” wah, bukan main bersinar-sinar lagi mata minah seorang ni. Dia ingat aku ni pengarah seni ke tiap kali ada muzik video artis korea terbaru dia nak tunjuk kat aku? Aku tak minat laa!

“Hmm, iye ke? Mana?” nak jaga hati kawan, terpaksa laa menadah mata aku yang suci tak bernoda ni tengok muka-muka ala cina yang kadang-kadang aku sendiri pun boleh keliru, lelaki ke perempuan terkinja-kinja meliuk lentok ikut irama lagu.

“Dah, jangan nak buat muka sayu macam anak terbuang kau tu! Tengok nih” sambil dia keluarkan Samsung Corby II. Aku rasa kan, telefon tu mesti hari-hari menangis asyik kena simpan lagu asing di bumi Melayu yang berdaulat ni.

“Wah, cun giler laa step diorang. Kau tengok, sama je kan diorang gerak. Takde silap pun!” mata perempuan ni tak beralih-alih dari tadi. KPop ni ada gam mata magik ke ha? Mulut tu asyik nak memuji aje. Bosan!

“Kau dengar tak apa aku cakap ni? Mengada-ngada laa kau. Kalau kau tak nak tengok, bagitau awal-awal! Aku boleh tunjuk kat orang lain” terus dia tekan-tekan dengan kasar telefon yang langsung tak disabit bersalah tu. Baik laa telefon tak mempunyai sebarang deria rasa emosi mahupun fizikal. Aku hanya mampu angkat kening, melihat Anjie berlalu pergi.

“Eh, si Anjie tu kenapa? Hangin semacam je” kata Ajay yang menyandang pangkat adik kembar kepada Anjie. Dia tanya kat aku mesti sebab takut nak menyakat kakak dia kat rumah karang. Aku dah faham sangat perangai budak dua orang ni.

“Alaa, benda biasa laa. Lorat sangat pasal KPop dia tu. Apa ke Wonder Junior entah dia sebut tadi. Terlompat-lompat je mamat jambu tu. Bagi laa aku tengok yang perempuan punya. Baru laa best tengok. Ye dak?” air teh ais kuhirup setengah gelas.

“Ahh, kau pedulikan je dia tu. Bukan betul sangat. Eh, petang ni futsal jom. Tempat biasa. Geng Labu tak cukup orang laa” dia ni pun lebih kurang sama jugak dengan kakak dia. Futsal tak habis-habis.

“Eh, kau ni ada kesedaran sivik tak? Minggu depan dah final. Kau rasa-rasa dalam paper tu ada dia tanya peraturan futsal tak?” malas pulak aku nak panjangkan bahas. Niat asal taknak bagi kawan marah, sekarang ni aku pulak yang rasa marah sendiri. Nasib.. nasib!!! Aku menghala kaki menuju ke rumah. Baring kat katil lagi baik!

“Locoi.. Locoi.. kejap weh” siapa pulak yang terjerit-jerit panggil aku ni? Serentak tu aku toleh ke belakang. Amid rupanya.

“Haa, ada apa?” macam serius sangat je gayanya. Bahu aku dipaut mesra.

“Aku nak ajak kau study sama-sama. Boleh tak? Nak mintak tolong kau ajar aku Statistik. Nanti aku datang rumah kau” dia ni selalu sangat cakap nak belajar sama-sama. Sudahnya, belajar setengah jam. Lebih satu jam, dia bantai ajak berborak benda lain.

“Alaa, boleh laa Coi. Kau sorang je yang boleh ajar aku cepat pick up” dengan muka dia yang menyengih tak sudah tu, aku angguk kepala walau tak sepenuh hati.
Malam tu rumah sewa aku, Hadi dan Wak Dol riuh rendah sebab bertambah sorang ahli yang sememangnya kaki kepoh. Wak Dol jeling aku semacam sebab dia memang tak suka kalau rumah terlalu bising. Si Amid ni pulak tak reti perlahankan volume suara yang dah habis maksimum tu agaknya. Penat aku jegilkan bijik mata. Haram dia buat tak reti.

Tapi memang kelakar belajar dengan dia ni. Asyik nak buat persamaan dengan apa yang ada kat keliling. Tiba-tiba Amid menyuarakan sesuatu yang aku langsung tak boleh agak.

“Weh, kenapa si Anjie tu sikit-sikit cari kau? Punya laa ramai gentleman kat sini, engkau jugak yang dia cari. Makwe ke?” senget kepala aku pandang budak ni. Soalan hyperaktif betul!

“Apa masalah kalau aku ada apa-apa pun dengan dia? Yang kau nak tau sangat ni kenapa?” saja aku berteka-teki. Muka Amid dah macam asam jeruk.

“Takde laa apa-apa. Aku tanya je. Takkan tak boleh?” aku cuba meneka raut wajah Amid sekarang tapi langsung tak ada klu. Dia suka kat Anjie ke? Aghhh, lantak kau laa.

“Haa, esok aku nak mintak tolong kau ajar aku LK pulak tau” ish dia ni. Dah macam tutor tak bergaji pulak aku ye.

“Esok aku ada hal kat town. Kalau malam boleh laa. Janji kau tak bising. Marah Wak Dol nanti” sambil aku memuncungkan bibir ke arah bilik Wak Dol. Aku tengok budak Amid ni terangguk-angguk. Konon faham laa sangat tapi tengok je laa esok. Mesti memekak jugak! Hmm.

“Ok laa bro. Aku gerak dulu. Thanks ajar aku for free ni. Kalau tak ada kau, mesti teruk result aku” nak tergelak aku dengar ayat memuji dia tu.

“Ye laa kau tu. Haa, dah alang-alang aku ajar kau free ni, esok nak datang tapaukan aku makanan. Nasi pataya ke, nasi kerabu ke. Dapat steak pun cantik jugak!” tergelak aku bila tengok Amid kepal penumbuk di muka pintu.

“Eh, nanti kirim salam kat Anjie eh” giliran aku pulak tunjuk penumbuk kat dia.
Tak faham. Ramai cakap Anjie tu awek aku. Mana ada! Lagipun kitorang dah kawan sejak kecik. Aku dah masak sangat dengan perangai tak cukup seringgit dia tu. Taknak aku ada bini macam tu.

Seorang isteri kena setia kat suami! Ini tak, bukan main lagi mulut dia puji artis Korea tu hensem laa, macho laa, putih laa. Naik bernanah telinga aku dengar! Malang seribu tahun siapa yang kahwin dengan dia nanti.

Tak dinafikan dia memang macam budak-budak. Lagipun dia seorang saja anak perempuan dalam keluarga. Lagi empat orang lelaki. Baik jugak dia tak jadi tomboy. Kan selalunya macam tu. Kalau sorang je perempuan, mesti kasar macam lelaki. Ini tak, dari hujung kasut ke hujung tudung, pink segala. Naik berpinar bijik mata!

Bukan dia tak pernah kena usik masa kat sekolah dulu. Nak nak si Mya anak Sidang Salim. Ada ke patut, dia ejek Anjie oink-oink! Dekat seminggu minah pink tu tak datang sekolah. Hari-hari jugak laa aku bertandang ke rumah dia hantar kerja sekolah yang dia kena buat. Orang otak cair, tak payah belajar beriya pun dah boleh buat semua soalan tutup sebelah mata.

Agaknya pasal tu kot si Mya tu dengki sangat kat Anjie. Tapikan, aku betul-betul tak faham orang perempuan ni. Dua tahun bergaduh sakan tapi bila dah habis SPM menangis sampai berpeluk-peluk macam esok nak mati je. Monsun angin barat daya kot? Plastik betul.

Masa hari pertama daftar kat kolej ni, dia asyik laa nak berhimpit dengan aku. Mengekor je mana aku pergi. Bukan tak ada si Ajay, adik dia tu. Dia selesa dengan aku kot. Lagipun adik dia macam sibuk sangat dengan aktiviti sukan aje. Aku ni rimas sebenarnya.

Nasib baik jadual aku dengan Anjie tak sama. Itupun, dah selalu sangat dia cari aku kat kelas sampaikan budak-budak perempuan kelas dah taknak bertegur lagi dengan aku. Tak nak kacau daun kata diorang. Hish, jatuh saham yang pakcik pertahankan selama ini!

“Locoi! Tunggu aku kejap” termengah-mengah si Ajay ni berlari. Aku dah terasa macam artis dikejar peminat aje. Sampai je dia kat sebelah aku, dipautnya beg galas aku yang dah memang sedia berat nih. Cepat-cepat aku tepis.

“Haa, kau nak apa pulak kali ni? Kakak kau tak ada laa dengan aku. Aku tak tau dia pergi mana” macam tau je apa yang dia nak tanya kat aku. Memang selalu sangat dah aku lepak kat kafe waktu tengahari sementara nak tunggu kelas petang. Dan kat situ jugak laa aku kena jadi rakan subahat Anjie, penyokong tegar artis bermata sepet, lelaki perempuan bermuka serupa walaupun hati aku tak sepenuh rela.

“Aku bukan nak cari perempuan tu laa. Aku just nak ingatkan kau aje yang majlis kitorang nanti buat weekend ni. Lepas maghrib. Kau jangan lupa pulak” Aiseh, macam mana boleh lupa birthday diorang dah dekat sangat. Nak taknak, kena cari hadiah dengan kadar yang paling segera.

Masak aku nak kena sediakan lima hadiah sekaligus. Rasanya tahun ni aku bagi kat Anjie je laa hadiah sebab si Ajay tu dah besar. Ajit, Ajak dengan Arip tu, aku belikan Saidina je cukup laa. Korang main laa sama-sama. Tapi yang sebenarnya aku takde bajet. Yang orang tua korang ni punya laa terror, boleh keluarkan korang lima beradik tarikh yang sama. Walaupun tahun lain-lain, tapi boleh buat poket kawan-kawan rabak tahu!

Petang tu, pusing-pusing plaza nak cari hadiah yang sesuai untuk Anjie. Aku pun dah 3, 4 hari tak jumpa dia. Merajuk laa kot pasal haritu. Dah memang ye aku tak boleh layan minat dia, nak buat macam mana? Kalau aku muntah kat situ, siapa nak bersihkan?
Apa laa yang syok sangat tengok orang Korea berjoget-joget? Orang Malaysia ni tak pandai joget macam tu ke? Eleh, kalau bagi aku masa sebulan, aku pun boleh menari macam tu laa. Err, dalam mimpi je kot!

Dah penat aku tawaf plaza ni. Satu barang pun aku tak berkenan. Majlisnya esok malam. Apa nak bagi ni??? Dalam keadaan minda tak berfungsi rapi, mata aku ni macam terlekat kat benda tu. Macam sesuai je kot. Boleh laa, harga pun still dalam bajet.
Balik rumah, aku balut elok-elok hadiah untuk Anjie. Bersungguh-sungguh aku hembus hadiah berbalut kertas pink tu dengan niat biar laa dia terima dengan senang hati, perut, limpa dan segala organ dalaman manusia yang ada. Sekeping kad l aku sertakan di atas hadiah. Moga hadiah yang tak seberapa ni diterima.

Lepas mandi malam, aku terdengar orang bagi salam kat pintu. Mesti si Amid laa tu.

“Waalaikumsalam. Kejap.. kejap” bergegas aku sarung T-shirt sebelum pecah pintu rumah ni diketuk budak Amid tu.

“Kau bertapa ke? Lama giler kat dalam” sambil tangan dia unjukkan sebungkus polisterin yang aku kira mesti makanan untuk aku. Banyak duit budak ni. Huluran bersambut.

“Untuk aku ke? Terima kasih” aku tersengih-sengih tengok dia angguk kepala. Semerbaknya bau nasi goreng kampung ni. Siap ada telur mata lagi. Macam kat kedai Pak Leman je. Aku memang suka makan kat situ sebab tukang masaknya goreng nasi memang sedap giler. Tak payah panggil pun dia dah tau apa yang aku nak makan.Nasi goreng telur mata, cili dan ikan bilis lebih. Sambal belacan dengan timun fresh tak pernah tinggal.

Sebab LK ni takde laa susah mana pun, aku kosongkan meja untuk Amid letak barang-barang. Sambil aku makan, si Amid pun mula keluarkan soalan tahap taji ayam beracun kat aku.

“Eh, esok kan harijadi awek kau si Anjie tu. Kau tak pergi ke?” dia ni, minah tu bukan awek aku! Aku letak pinggan kat tepi.

“Lagi sekali kau cakap macam tu, aku taknak ajar kau lagi. Pergi cari orang lain ajar kau!” tak faham bahasa punya orang. Potong selera betul laa dia nih! Nasib baik ada lintasan muka mak masa aku terasa nak sumbat je baki nasi tu dalam tong sampah. Sambung makan balik. Mak aku memang pantang orang makan tak habis ni.

“Aku tau birthday dia esok. Hadiah pun dah siap dah. Yang kau ni sibuk sangat pasal si Anjie tu nape? Kau suka dia ke???” aku cuba nak memulakan misi mengorek maklumat daripada si Amid merangkap anak murid aku. Dia tersengih-sengih. Iye laa tu!

“Ish, giler kau. Buatnya dia letak syarat, nak kawan dengan dia kena nyanyi lagu Kpop dulu. Haru!! Taknak aku suka kat perempuan macam tu. Esok-esok kalau aku balik rumah, lapar, dia suruh aku makan semua lagu Kpop dia tu. ” sambil menjuih-juihkan bibir. Aku gelakkan dia macam nak bergegar dinding rumah. Habis sisa ketawa, sempat aku berkata.

“Elehhh, macam laa kau hensem sangat nak memilih! Habis tu, apasal ko sibuk tanya pasal aku dengan Anjie tu? Apa kena mengena?” neuron saraf dalam otak masih lagi tak berhubung. Dah si Amid ni tak minat, nak buat apa dia asyik kenen pasal Anjie kat aku? Lantak kau laa Amid. Asal kau bahagia sudah.

“Err, macam mana pulak nak dapat garis DE ni?” tiba-tiba je dia tukar topik. Tapi memang niat dia datang nak belajar pun. Malam tu dekat pukul 11 malam baru Amid balik. Sebelum tidur, aku belek-belek hadiah yang aku nak bagi kat Anjie. Rasa-rasa dia suka tak? Hmm, tunggu je laa esok.

“Eh, kakak kau mana?” mata aku meliar ke merata tempat mencari tuan punya hadiah berbalut kertas pink. Tak nampak pun.

“Dia tengah bersiap kat atas. Biasa laa, perempuan. Kalau tak dua tiga jam bersolek, tak sah. Kau minum laa dulu. Self-service” pelawa Ajay ramah.
Sebaik saja birthday siblings berkumpul, doa selamat dibaca dan kek dipotong. Aku tengok semua orang dah letak hadiah kat atas sebuah meja yang dikhaskan. Masa tu aku serba salah pulak. Takut dia tak berkenan. Tapi aku memang ikhlas nak bagi.

“Err, Anjie. Aku nak bagi ni kat kau by hand. Aku harap kau suka” tersengih-sengih aku bagi hadiah yang bertemakan ‘Pink, kaulah pujaan hatiku’. Mana taknya, dari pembalut, reben, kad segalanya serba pink. Aku buat macam tu semata-mata nak pujuk dia.

“Aku harap sangat kau bagi aku DVD Super Junior ke, citer You’re Beautiful ke. Apa-apa pun, aku tau benda ni mesti best. Sebab kau kan kawan aku. BFF” leganya hati aku dengar. Lepas makan sikit lebih kurang, aku pun balik.

Sampai kat rumah, lepas solat Isyak aku terus lelap tak sedar. Alih-alih berbunyi jam loceng dah pukul 6. Dalam pada mamai baru sedar tu, aku perasan yang telefon aku menyala menandakan ada mesej masuk. Siapa pulak ni?! Cepat-cepat aku capai nak baca isi kandungan mesej tu.

“Locoi, Anjie menangis tak ingat dunia lepas bukak hadiah kau. Apa kau bagi?” mesej si Ajay rupanya. Baru pukul 6. Takkan nak reply macam ni punya awal. Karang je laa. Lagipun aku ada sebab tersendiri kenapa aku bagi dia barang tu.

“Anjie, kau marah ke aku bagi kau benda tu?” tegur aku perlahan masa dia ajak nak jumpa.

“Taklah. Terima kasih sebab ingatkan aku. Aku suka sangat. Lagipun, kan ke pink warna favourite aku” kelam aje senyum dia saat ni.

“Err, kau nak tak kawan dengan aku?” haaa, dia pinang aku ke apa nih? Perempuan pinang lelaki?? Biar betul…

“Aku tau masa aku bukak hadiah kau tu, lepas baca kad kau, aku rasa aku tak buat silap kalau aku pilih kau. Dan aku harap kau boleh terus guide aku macam ni selalu” saat tu aku bersyukur pemberian sehelai pashmina pink yang cuma berharga sepuluh ringgit dapat menukar pendirian seseorang. Mungkin dia tersentuh hati dengan isi kad berwarna pink striking tu.

“IF JANNAH IS YOUR DREAM, HOLD TIGHT TO YOUR DEEN.. moga dengan pemberian yang tak seberapa ni, kau akan gantikan Kpop dengan sesuatu yang lebih baik.
P/S: Kpop sekali sekala tak apa”

“Aku memang sukakan kau dah lama. Tapi sorry, tak lebih daripada seorang adik dan kawan yang rapat sangat-sangat. Lagipun aku takde kawan perempuan kat sini. Diorang semua takut dengan kau. Kau punya pasal laa ni. Aku dah tak boleh nak mengayat awek kat sini.Huh” muka dia macam tak percaya bila aku cakap macam tu.

“Habis, kau dah ada orang yang kau suka ke? Siapa?” soal dia laju bila aku angguk pada soalan yang pertama.

“Zana, anak Pak Leman tauke warung hujung jalan sana. Dah lama aku usha dia tau. Dia pun macam ada respond je bila aku senyum kat dia. Aku yakin, kau boleh dapat yang lagi baik daripada aku punya laa” keyakinan kata-kata aku tu dah setinggi tsunami yang melanda Thailand tak lama dulu. Anjie pun senyum.

“Kau kawan aku, mesti laa aku nakkan yang terbaik untuk kau. Anyway, goodluck!” dalam masa dua minit, aku keseorangan di bangku kaku.

Kedai Pak Leman kosong aje petang tu. Selalunya waktu-waktu macam ni, ada je Zana tengah ketang-ketung menggoreng kat belakang. Puas aku tertinjau-tinjau tapi hampa. Langsung tak nampak kelibat dia.

Aku tak kira, hari ni aku nak jugak cakap kat dia tentang perasaan aku yang ikhlas tiada galang ganti ni. Baru aku merangka-rangka apa yang aku nak cakap, Pak Leman datang tanyakan order.

“Err, saya nak sirap limau dengan nasi goreng kampung. Macam biasa ye Pak Leman” entah apa yang dia tulis bukan main lama lagi kat kertas tu entah laa. Mengeja agaknya. Tapi aku tak kisah, asalkan dapat luahkan rasa hati kat Zana hari ni jugak.

“Err, Pak Leman nak tanya sikit boleh? Zana mana?” cepat-cepat aku bersuara.

“Dia ada kat belakang tu” tunjuk Pak Leman. Tak berapa lama lepas tu, Zana keluar bawa hidangan yang aku pesan tadi dengan senyuman yang paling manis pernah aku tengok.

“Zana, saya ada benda nak cakap kat awak boleh?” tiba-tiba tangan aku rasa berpeluh. Dia angguk perlahan. Ya Rabbi, berdebarnya dada aku. Baru nak ajak kawan dah gabra macam ni. Kalau ajak kahwin, macam mana laa agaknya?

“Kalau saya nak kawan dengan awak boleh?” bulat mata dia pandang aku. Ada kesalahan tatabahasa ke ayat aku tadi?

“Boleh, tapi awak mesti nyanyikan lagu That Man. Alaaa, yang Hyun Bin nyanyi tu. Kalau betul sebutan dia semua, baru awak boleh kawan dengan saya” tersenyum sambil lenggang kangkung Zana masuk balik ke dapur.

Adoi, apa bala aku kenal perempuan semua minat Kpop nih??????








1 comment:

  1. muahahahaha...kesian kau Locoi...xpe la minat je pun... ;)

    ReplyDelete