jom jadi kawan saya

Thursday 31 May 2012

Manik Suci Part 7

Lega betul rasanya dapt bermalas-malasan atas tilam yang dah sedia best ni. Kalau ikutkan hati aku yang bengkak, memang tak nak aku teman si Darius tu minum tengah-tengah malam ni. Kan ke tak elok sumbat perut sebelum tidur?

"Yang kau minum macam badak di musim kemarau ni kenapa? Minum pelan-pelan tak boleh? Buruk tau tak?" Eiii, menyibuk pulak dia bila tengok aku habiskan air kopi cepat-cepat. Tak boleh rasa ke aku tengah marah? Orang dah laa penat-penat fikir corak yang sesuai nak jahit kat baju tu esok. Boleh pulak dia nak kerah aku macam askar baru rekrut aje.

"Bukan laa aku ni pelahap sangat. Tak payah kau nak sama kan aku dengan badak tu. Jauh sangat bezanya. Aku mengantuk, paham?!" habis secawan kopi O sejuk, terus aku angkat punggung. Nak kemas semua barang yang dah bersepah-sepah atas meja.

Darius ni pulak buat tak reti je tengok aku kemas meja. Bukan nak tolong. Asyik sangat dengan gitar baru dia tu. Naik menyampah pulak aku dengar. Kan dah tengah malam buta ni. Orang lain nak tidur. Sebelum aku kena marah sekali, baik aku blah.

"Ada nak apa-apa lagi tak? Esok pagi-pagi aku nak keluar dengan Datin. Nak kena bangun pagi. Aku masuk dulu laa" aku tunggu dua, tiga minit tapi dia senyap aje tak berjawab. Tak ada apa-apa yang dia nak minta lagi laa tu. Fuh!! Selamat aku.

"Esok buatkan aku breakfast macam semalam. Masak betul-betul sikit. Kalau tak sedap, siap kau!" amboi, bukan main lagi kau ye, 'tuan besar jadian'!

"Kau kan dah sihat. Pergi laa mengada-ngada kat maklong. Aku janji nak jaga kau sampai kau sihat aje!" terus aku masuk dalam. Taknak dengar lagi alasan-alasan dia yang merepek sungguh tu. Buat menambah sakit hati aje.

Sampai nak pejamkan mata pun rasa sakit hati tak boleh hilang lagi. Benci betul aku kat Putera Bongkak tu. Kalau laa arwah abang aku ada lagi, mesti dah lama si Darius ni kena sebab buli aku tak agak-agak.

Tapi realitinya, arwah dah tak ada nak jaga aku lagi. Nak tak nak, kena laa pandai-pandai jaga diri sendiri. Dalam letih ya amat, akhirnya dunia jadi gelap gelita.
Sama macam pagi-pagi sebelumnya, lepas subuh maklong dah sibuk kat dapur memasak.

Bila aku ke dapur dengan niat nak menolong, tengok-tengok atas meja dah sia hidangan yang berasap-asap. Lagi cepat laa perut aku ni menyanyi.

"Awalnya maklong masak? Kenapa tak kejut Uci sekali? Boleh Uci tolong" rasa kasihan sebenarnya menguasai hati. Macam tak patut je aku biarkan maklong buat semua tu sorang-sorang.

"Alaa, dah biasa Uci. Lagipun hari ni maklong puasa. Lepas sahur tadi, terus laa masak. Rencah semua dah siapkan awal-awal. Tinggal goreng aje. Tak susah pun" Wajah tua maklong, aku renung penuh kagum. Walau tak punya anak sendiri tapi dia masih tampak bahagia.

"Kalau nak tolong, pergi susun pinggan atas meja tu. Kejap lagi kang semua turun nak makan" kata maklong bila melihat aku tercegat di tepi meja. Bergegas aku angkat apa yang patut. Dalam pada sibuk melengkapkan meja, terdengar bunyi enjin kereta dihidupkan.

"Hmm, si Yus laa tu. Dia kalau pagi-pagi memang jarang sangat sarapan berat ni. Asyik-asyik roti. Tak jemu agaknya?" luahan rasa maklong yang membuatkan aku terfikir sekejap. Bukan ke malam tadi dia suruh aku masak apa ke benda entah. Takkan merajuk kot bila aku tak nak masak untuk dia. Arghh, aku peduli apa?

"Uci, Mak Eton. Dah siap sarapan belum? Saya nak keluar awal ni" tegur abang Yan sambil duduk di kerusi.

"Nak kena serve ke, nak makan sendiri?" kata aku sekadar nak bergurau. Pagi-pagi kena ceria. Baru laa rezeki masuk mencurah. Itu kata mak masa dia sihat dulu. Ya Allah, rindunya kat mak sekarang.

"Dah ada waitress yang cun ni, mesti laa nak di serve. Kalau tak, nanti tak kenyang" wah, dia pun pandai jugak seloroh ye. Gelak ketawa pagi tu memenuhi ruang dapur. Tapi suasana riang tadi terus bertukar senyap sunyi bila Darius masuk. Aik, kata tak makan pagi-pagi?!

"Uci, aku nak makan macam hari tu. Cepat sikit. Lagi 20 minit aku nak gerak" dalam hati ni rasa sakit hati sangat bila dengar dia cakap macam tu. Tak boleh ke mintak baik-baik? Bukan laa aku suruh dia berdondang sayang bila cakap dengan aku tapi bersopan laa. Macam tak ada adab. Ops, lupa pulak. Dia kan Putera yang Bongkak!

"Kan banyak lagi makanan atas meja ni. Makan je laa apa yang ada. Nak masak lain buat apa? Membazir namanya tu" merah muka dia bila aku menjawab.

"Perut kau ke? Bukan kan? Aku makan pun, bukan kau yang kunyah. So, pergi masakkan cepat" selamba badak betul dia bersuara. Aku ketap bibir kuat-kuat menahan rasa hati. Takpe.. Takpe.. Hari ni hari kau. Maklong geleng kepala tengok aku bertekak dengan Darius kat meja makan. Muka abang Yan pulak dah macam buaya tercekik kancil seekor.

"Hishhh! Mengada-ngada!" dalam terpaksa, aku buat jugak hotdog goreng dengan telur hancur. Sama macam yang aku masak dulu. Kalau yang ni pun nak komplen jugak, kau masak laa sendiri lepas ni!

"Nah!!! Nak aku suapkan tak?" geram betul bila aku tengok dia tersenyum bila dapat nayakan aku pagi-pagi tu.

"Air aku mana? Kan aku dah pesan. Kelmarin kata dah hafal menu sarapan aku" sambil ketuk-ketuk gelas kosong depan dia.

"Hoi, kalau dah pandai amik gelas tu, salah ke kalau kau tuang aje air oren tu sekali arung?!" aku kepal penumbuk kuat-kuat bila ayat nak mengena Darius tu singgah kat telinga.

"Lain laa rasa dia kalau kau yang tuang. Jangan banyak cakap. Tuang aje laa. Tu pun susah ke?!" rasa macam nak je aku mandikan dia dengan air oren ni sebotol. Abang Yan jeling adik dia yang mengada-ngada tu dengan ekor mata.

"Uci, duduk sini. Meh sarapan dengan abang. Ada orang tu cukup kaki tangan, lengkap Allah bagi. Biar dia amik sendiri apa yang dia nak" diorang berdua ni ada buat MoU ke nak buat aku serba salah sepanjang masa? Aduhai laa nasib!

Betul-betul dalam kemuncak dilema, Datin Darina muncul. Rasa lega tak ingat sebab aku dapat meloloskan diri daripada perang dingin dua beradik ni. Korang berdua tak tahu nak mengalah, biar aku je yang cabut.

"Uci dah siap? Saya ingat kita pergi dalam pukul 10 nanti laa. Saya ada nak confirm order customer sekejap. Takut dia datang masa kita keluar nanti. Kesian pulak dia. Boleh ye Uci, kita keluar lewat sikit?" takkan nak cakap tak boleh. Aku tersenyum sambil jungkit bahu tanda tak kisah.

"Bagus jugak tu. Boleh Uci tolong maklong masak untuk lunch sekali. Takut nanti keluar, lambat pulak baliknya" mak datin tersenyum dan mengangguk dengar jawapan aku. Walaupun aku setakat penjahit manik kontrak aje kat sini, tapi aku memang respek Datin Darina sebab pendapat aku belum pernah ditolak ketepi.

"Maklong ni tak kisah Uci, buat kerja sorang-sorang. Dah biasa" ayat maklong terdengar ikhlas kat telinga aku. Makin tangkas aku tengok tangan dia siapkan kerja. Ada je benda nak dibuat. Bila ditanya, asyik kata tak ada apa-apa.

"Awal semua pagi ni. Ada mesyuarat tergempar ke? Wah, Darius pun ada. Ni mesti sebab Uci berdiri kat dapur ni. Kalau tak, kempunan laa orang dalam rumah ni nak tengok Darius sarapan kat sini" bunyi ketawa bergema. Makin lebar senyuman Datuk Dahlan aku lihat bila semua ahli keluarga duduk semeja.

Aku perhatikan sama je macam semalam. Semua orang boleh bergelak ketawa dalam semua hal kecuali Darius. Tak boleh ke bagi muka sikit kat ayah dia yang buat lawak tu? Kalau pun tak nak gelak, sengih je pun jadi laa. Sombong!

"Yus, pagi ni ambik baju kat mana?" tanya Datin Darina bila gema ketawa berhenti. Mata aku tertumpu pada Putera Bongkak nan seorang tu. Lambat-lambat je dia jawab.

"Kat tempat biasa. Millie Couture. Ada foto shoot terus untuk iklan perfume. Kenapa?" tanya Darius tanpa melihat muka mak datin. Eii, dia ni. Aku pulak yang bengang.

"Laa, kat situ ke? Dekat sangat laa tempat yang kitorang nak pergi nanti ni. Kejap lagi boleh laa ibu tengok macam mana Yus shoot ok?" ada riak girang di wajah ibu itu. Dan aku hanya mampu menumpang senyum. Kalau laa mak aku boleh tersenyum seperti itu, aku akan lakukan apa sahaja. Ya, apa sahaja asalkan dapat aku lihat senyuman seperti itu di wajah mak semula.

"Ibu nak datang dengan budak ni ke? Tak payah laa ibu. Malu Yus nanti" dia kata aku memalukan dia? Dia ingat dia tu artis popular ke? Piirahhhh! Geli geleman aku dengar.

"Tak baik Yus cakap orang macam tu. Kalau nak kata malu, abah ni lagi malu dikata dek orang. Anak belajar tinggi-tinggi tapi cari makan jadi model iklan saja. Tak ada pun abah cakap apa-apa depan Yus kan?" teguran Datuk Dahlan mematikan alasan Darius yang bukan saja menyakitkan hati, malah melukakan perasaan kalau diamati sungguh-sungguh. Cepat-cepat aku beristighfar dalam hati.

"Takpe pakcik. Saya tak kisah. Saya ni orang kampung aje. Mana tahu life style orang bandar ni. Takpe Datin, lepas beli barang-barang tu semua, saya boleh balik naik teksi aje kalau Datin ada hal kat luar" kataku menunjukkan kebolehan untuk berdikari. Kat bandar ni, asalkan ada duit, semua pun boleh.

"Tak apa Uci, kalau Yus tak bagi kita tengok, banyak lagi tempat lain, orang lain yang kita boleh tengok, kan Yan?" aku tengok abang Yan dah menyimpul senyum. Hmm, apa-apa je laa. Yang aku target, hari ni mesti siapkan sepasang baju. Tak boleh tidak.

"Hari ni nampaknya semua orang sibuk dengan kerja masing-masing. Jangan lupa malam karang kita dinner sama-sama ok" kata-kata Datuk Dahlan yang berupa arahan tak boeh diingkari. Bak kata maklong, setinggi mana pun pangkat keluarga Datuk Dahlan, makan malam bersama adalah wajib kepada semua orang. Terkecuali jika ada alasan yang munasabah.

Mula-mula maklong bagitau, rasa nak gelak pun ada. Ye laa, mana taknya. Kalau taknak makan pun, kena duduk jugak kat meja. Termenung laa kau kat situ. Janji Datuk dapat tengok muka keluarga dia waktu malam.

Memang aku hormat Datuk Dahlan sebab dia hanya menyediakan jalan kerjaya untuk anak-anak. Kemewahan jika diingini, cari sendiri. Kebanyakan yang aku tahu, kalau mak bapak kaya mesti belikan anak-anak kereta, motor dan segala yang si anak minta tapi tidak Datuk Dahlan. Mesti cari kerja macam orang lain.

Apa yang aku tau, dia buat macam tu sebab nak mengajar anak-anak nilai usaha untuk duit sendiri. Secara tak langsung, anak-anak akan lebih menghargai duit titik peluh sendiri. Nak beli apa pun, usaha dapatkan tanpa bergantung dengan duit abah diorang. Sudah dihantar belajar tinggi-tinggi, cari kerja yang baik-baik guna ijazah yang ada.

Betul jugak cara macam tu. Patut laa Darius cukup sensitif dengan segala kotoran yang hinggap kat kereta dia dulu. Kalah orang sayang bini oi! Keluar duit sendiri rupanya.

Cerita maklong jugak laa, baru aku dapat tau yang Datuk tak berapa berkenan dengan kerjaya pilihan Darius sekarang. Tapi, apa kena mengena dengan aku pulak. Lantaklah, si Darius tu nak kerja apapun, asalkan halal.

"Tapi, kalau dah bergambar berpeluk-peluk, bukak sana, bukak sini. Orang tua mana yang suka Uci oii" hmm, betul jugak tu. Agaknya kalau aku yang buat perangai macam tu, dah sahih kena terajang dengan bapak. Hish, ke situ pulak difikirnya akal aku ni.

"Lantak laa dia maklong. Dah besar pun. Meh Uci tolong buat rencah lauk tengahari karang. Maklong tinggal lebur aje dalam kuali" kata aku lepas selesai mengemas meja dan semua orang dah pun selamat beredar ke tempat kerja masing-masing.

"Haa, buat rencah untuk gulai daging masak lemak rebung. Maklong dah rebus daging kasi empuk. Dah siap nanti, kamu simpan dalam peti sejuk dulu. Maklong nak kemas kat depan" kata maklong sebelum menghilang.

Banyak betul kerja orang tua ni. Patut laa badan dia sihat. Kalau aku laa yang kerja kat sini, mau semput dibuatnya. Kemas depan, jaga tingkat atas, siram pokok, basuh baju, masak lagi. Ish, betul-betul superwoman laa. Tabik spring. Aku rasa tak ramai perempuan sekarang nak kerja macam tu.

Banyak kali sebenarnya terfikir apa aku nak buat lepas habis kontrak memanik baju mak datin. Segala macam kalau yang aku cipta. Ye laa, kita kena ada back up plan kalau-kalau apa yang kita rancang tak menjadi.

Sekilas jam aku tengok, dah pukul sembilan lebih. Rencah gulai, siap. Bumbu sayur pun dah siap. Semua dah simpan dalam peti sejuk pun. Sementara tunggu mak datin panggil, aku belek-belek album keluarga Datin Darina.

Puas aku belek-belek gambar budak lelaki dua orang dalam album tu. Dah sah-sah laa gambar abang Yan dengan Darius. Tapi yang mana satu, aku tak boleh cam. Serupa je aku tengok. Macam-macam keletah dirakam. Sampaikan aku tersenyum sendiri.

Dalam ralit membelek album tu, aku terdengar suara rancak berbual keluar daripada studio Datin Darina. Pelanggan dia laa tu agaknya.

"Jangan lupa ye Datin. Saya mintak sangat-sangat ni. Nak jugak melawa kat majlis Tan Sri Ayob tu nanti. Biar sedondon dengan Datuk. Bukan apa, imej kena laa jaga. Haa, jangan lupa Zureen kirim salam kat Darius. Kalau ada peluang, teringin juga berbesan dengan awak" terkekek-kekek datin vouge tu menyuarakan hasrat hati.

"InsyaAllah saya siapkan. Sejak ada pembantu ni, senang sikit kerja saya. Uci, meh sini kejap. Haa, ni laa anak saudara saya. Semua manik-manik tu nanti, dia laa yang jahit. Datin Jay jangan risau. Harga upah manik dia memang murah" cepat-cepat aku datang bersalam dengan Datin liplap-liplap tu. Melihatkan barang kemas yang bergayutan kat badan dia, aku agak dah layak sangat kalau nak bukak satu cawangan kedai emas. Ish, rimasnya!

"Comel anak saudara awak ni Datin. Kalau kita ada anak bujang, nak je jodohkan dengan dia" terlintas dalam kepala, dia ni bisnes cari jodoh ke?

"Jangan cakap gitu. Jodoh tu kan kerja Tuhan. Biarlah diorang cari sendiri. Apa-apa jadi yang tak elok nanti, kita disalahkan" ayat Datin Darina sungguh berlapik dan sopan. Mesti Datin liplap tu takut anak dia terkahwin dengan mamat sengkek.

"Betul tu tapi kita kena laa memilih sikit untuk anak kita. Takkan nak terima je orang sembarangan" muka Datin Jay dah mula ketat bila haluan ayat Datin Darina tak sekata.

"Hmm, Datin Jay jangan laa risau. Ada jodoh budak berdua tu, berbesan laa kita. Kalau tak, kita tetap berkawan. Pusing-pusing pun, muka kita jugak yang nampak" ada ketawa kecil di hujung ayat Datin Darina.

Hilang je kelibat Datin Jay, terus mak datin capai beg tangan dan sarung kasut. Melulu aku ikut sarung selipar.

"Haa, kalau Uci nak tau macam tu laa nak kena hadap kerenah pelanggan ni. Macam-macam cerita. Dah lama-lama, dah lali dengan cerita diorang tu semua" kata mak datin memecah sepi dalam kereta.

"Sorry ye Datin.." aku mencelah.

"Apa yang Datin nya? Panggil makcik sudah laa. Kan saya dah kenalkan Uci ni anak sedara saya" iye tak ye jugak kan? Lagi senang macam tu.

"Ok, boleh. Lagi bagus macam tu. Kalau tak, asyik nak tergeliat je lidah Uci ni nak panggil Datin 24jam" aku menyengih sambil mengangguk kepala sekali.

"Ada bawak tak gambar paten semalam tu? Takut kang lupa pulak nak guna manik yang mana" bergegas aku cari gambar contoh yang dipilih malam tadi. Haa, nasib baik ada.

"Ni kan? Rasanya macam tak cukup je bekas manik makcik tu. Kalau dapat beli satu kotak lagi senang nak simpan manik baru" kataku memberikan cadangan. Lagipun aku perhatikan semalam, bekas yang sedia ada tinggal dua saja ruang kosong. Takkan nak letak dalam pinggan pulak?

"Ha ah laa. Nasib baik Uci ingatkan makcik. Nanti lepas beli manik, kita pergi beli bekas tu pulak" mak datin tersenyum memandu.

Sampai saja kami ke kedai yang Datin Darina maksudkan, kami disambut ramah oleh tuan kedai. Macam nak terkeluar biji mata aku tengok deretan manik kecil dan besar serta berbagai warna dan saiz bergantungan. Rasa macam nak angkut je satu kedai ni. Boleh tak?

"Uci, pilih je mana yang nak. Saya nak tengok barang jahit sekejap kat situ" sambil telunjuk diluruskan ke arah yang disebut. Aku angguk kepala dua tiga kali.
Rasa macam kedai ni aku yang punya bila dapat ambil apa saja yang aku suka. Ye laa, bukan aku yang bayar pun. Apa nak dirisaukan sangat. Lain laa kalau poket aku yang keluarkan kosnya. Dapat laa aku menjahit dnegan sepuas-puas hati lepas ni.

Dalam kepala, aku dah terbayangkan Uci versi tukun. Mesti leka tak ingat dunia bila dah bergelumang dengan manik nanti. Belum lagi masuk bab manik berterabur. Harapnya tak sampai ke situ laa.

"Uci, dah siap pilih belum? Ambik lebih-lebih pun tak apa. Nanti boleh buat stok. Manatau kot-kot ada lagi baju yang saya nak suruh Uci jahit lepas projek ni kat kampung" bila Datin Darina ada kat sebelah pun aku tak perasan. Leka sangat tengok mutiara yang cantik sungguh.

"Haa, dik. Bos dah kata borong tu, ambik je apa yang suka. Ni semua stok baru sampai tau. Tak ramai lagi yang ambik batu-batu macam ni" macam nak suruh aku habiskan aje segala manik kat dalam kedai ni. Aku toleh mak datin, nampak dia tengah khusyuk pilih lace Itali paten terbaru.

"Makcik, dah kot banyak ni. Cukup dulu untuk tiga helai tu. Baju yang lain, kita plan dulu nak buat paten yang mana" ujarku sambil berdiri di kaunter pembayaran.

"Manik ni kalau beli dalam pack yang besar, rasa macam rugi pulak. Sebab kejap-kejap datang corak baru. Warna pun kena pandai matchingkan. Color wheel taknak beli ke Datin? Senang nak buat rujukan" kata tuan kedai lagi mempromosikan barang.

"Hmm, takpe dululah. Saya punya color wheel hidup ni punya matching lagi mengancam tau" nada suara Datin Darina berbaur bangga. Iye ke pilihan aku ni mengancam sangat? Bukannya aku ada masuk kelas professional mana-mana pun.

Ikut kata mak datin dulu, satu kelas nak belajar jahit manik ni kurang-kurang pun RM200.00. Tersangkut air liur kat tekak. Dah separuh upah aku kat kampung dulu. Tak tahu laa macam mana aku boleh menjahit manik ni. Sebab aku minat sangat kot.




"Dah dekat waktu lunch ni Uci. Jom teman saya sekejap" menonong je mak datin berjalan tanpa memberitahu arah tuju. Tangan aku ni sarat dengan plastik berisi barang nak memanik karang. Kalau macam ni punya banyak, dah wajib aku jadi toyol kira kacang hijau nanti.

Erk, bukan laa aku ni toyol tapi orang kampung aku ada cakap, kalau toyol jumpa kacang hijau nanti dia leka sangat sampai tak sempat nak curi duit. Perumpamaannya laa tu. Lagi laju langkah aku nak kejar Datin Darina yang sememangnya agak jauh di depan.

Selamat mengisi barang kat dalam bonet, aku duduk di sebelah mak datin.

"Nak ke mana kita ni makcik? Kan maklong dah siap masak kat rumah" aku agak dia nak bawak aku pergi makan. Tak payah laa susahkan diri. Kesian lauk kat rumah tu, takde siapa nak habiskan.

"Bukan nak pergi makan. Nak pergi jumpa orang" kereta bergerak perlahan mengikut arus trafik. Aku perhatikan aje kereta berselisih satu persatu di luar tingkap kereta. Lagu berirama perlahan yang mengisi ruang udara kereta Datin Darina sikit pun aku tak faham. Bahasa apa pun aku tak tahu. Lantaklah, bukan kereta aku pun.

"Ok, dah sampai. Jom" ringkas butir bicara mak datin buatkan aku terpinga sekejap. Kat mana ni? Pejabat Datuk Dahlan kot. Persoalan yang belum terjawab tapi aku turut juga belakang dia.

Dalam lif, beberapa orang yang berselisih, mengangguk kepala tanda hormat. Glemer jugak Datin Darina ni rupanya ye? Butang tujuh ditekan oleh seorang penjaga lif. Terselinap rasa rendah diri bila membandingkan pakaian yang aku sarung sekarang dengan manusia yang ada di keliling aku saat ini. Malu weh!

Tinggg..

Pintu lif terbuka dan seorang demi seorang pekerja yang masih di pejabat bangun dan menyapa Datin Darina dengan hormat. Betul tekaan aku yang ini adalah pejabat suaminya bila terpandang tanda nama Datuk Dahlan di pintu sebuah bilik. Terlihat juga bilik yang mempunyai nama Darian.

"Makcik, saya tunggu kat kereta je laa. Segan laa datang sini pakai baju tak senonoh. Malu makcik nanti" kataku cuba mengawal perasaan segan.

"Apa Uci cakap ni. Bukannya kita kerja kat sini. Kita datang nak jumpa abang Yan aje. Tengok kerja dia macam mana. Lagipun makcik tak nampak pun ada peraturan tulis kat mana-mana kena pakai cantik baru boleh datang sini. Dah, ikut aje" perbualan sesaat tadi tetap tak melegakan langsung hati aku.

"Assalamualaikum. Sibuk ke awak? Saya datang bawa orang ni" ayat mak datin buatkan kening aku terangkat sebelah. Macam cakap dengan kawan-kawan je. Hehe.

"Oh, ada tetamu VVIP rupanya. Masuklah. Bilik kerja abang Yan kecik aje. Daripada mana ni?" kecik dia kata? Aku rasa sama besar je dengan studio kerja kat rumah tu. Melilau mata aku pandang keliling.

"Uci, abang Yan tanya tu" sampuk Datin Darina buat aku tersedar yang ada seseorang cuba berkomunikasi dengan aku tapi tak dilayan.

"Err, sorry. Tadi Uci tak dengar. Tanya apa ye?" abang Yan dah gelakkan aku.

"Haa, tu laa. Masuk ofis orang tak cakap awal-awal. Abang tanya tadi, lunch sama-sama nak tak?" laa, tanya aku buat apa. Dah tentu arah laa aku ikut je apa kata ibu dia.

"Uci tak kisah sebenarnya. Uci ikut je makcik kata apa. Lagipun Uci taknak kacau abang Yan buat kerja. Maklong pun dah siap masak kat rumah" kata aku menggosok-gosok tapak tangan.

"Macam ni, Yan bawak Uci pergi makan. Ibu ada hal nak ajak ayah keluar kejap. Uci takpe kan temankan abang Yan makan? Kalau dah sudah nanti, Yan call ibu" ujar Datin Darina. Alaa, macam mana ni? Rasa nak balik naik teksi pun ada ni.

"Uci macam tak suka je nak makan dengan abang?" melantun suara Darian sejurus kelibat Datin Darina hilang. Tekaan yang sungguh tepat sekali. Tapi apa jawapan aku nak bagi kat dia ni? Salah jawab kang, kecik hati pulak. Ish, susahnya!

"Bukan taknak tapi tengoklah baju yang Uci pakai ni. Macam nak jual selipar kat pasar malam je. Err, boleh tak kalau abang Yan panggilkan teksi. Biar Uci balik sendiri aje. Lagipun, takkan laa abang Yan nak makan dengan Uci macam ni?" cuba sedaya upaya mengelak untuk makan berdua dengan Darian. Aku tak biasa laa.

"Ke, Uci yang malu nak keluar dengan abang?" ada pulak macam tu.

"Tak. Tak. Serius pasal baju Uci ni haa. Tadi makcik tak bagitau pun nak singgah sini. Kalau Uci tau, mesti pakai baju yang elok-elok sikit" pandai je kau menipu ye Uci. Ini laa baju kau yang paling elok.

"Ok, sekejap k" aku tengok, Darian menekan butang di telefonnya. Entah apa butir bicara, tak pulak aku peduli.

"Ok, jom. Jumpa kawan kejap" kenapa laa hari ni aku asyik teman orang jumpa kawan aje?

"Lepas tu terus hantar Uci balik boleh?" sempat lagi aku bertanya.

"Iye laa" jawapan yang pendek tapi cukup memuaskan hati aku saat itu.

Sampai kat tempat yang dimaksudkan abang Yan, aku terkaku sepuluh saat. Nak buat apa kat butik ni? Bukan ke butik tempat jual baju untuk makcik-makcik? Itu laa definisi butik yang aku tahu.

"Apa tunggu lagi? Tadi kata malu pakai baju ni. Masuk, pergi pilih sepasang nak pakai sekarang lepas tu teman abang makan. Dah lapar sangat ni. Cepatlah" gesa abang Yan buatkan aku tersentak. Lama aku tenung pintu butik tu. Nak masuk ke tak? Nak masuk ke tak? Ish!!!

Baru aku nak melangkah, tiba-tiba pintu butik ternganga. Seorang wanita muda menegur, mempelawa kami masuk.

"Wah, comel nampak" aku boleh hidu bau keikhlasan dalam pujian itu. Tapi bila aku kerling abang Yan, nampak dia menggaris senyum di bibir.

"Psstt, abang Yan. Meh kejap" macam mana laa aku nak pilih ni? Bukan aku tau mana yang sesuai lagipun naik pucat aku tengok harga sehelai-sehelai persalinan yang ada.

"Uci tak tau laa nak ambik yang mana. Abang Yan je laa pilih. Nanti dapat duit, Uci ganti balik ok" seperlahan mungkin aku cuba merendahkan nada suara. Malu je kalau ada orang dengar.

"Siapa suruh Uci bayar? Abang nak belanja laa. Uci jugak yang kata, kalau dah gaji nak keluar dengan abang. Semalam dah gaji" gulp, iye ke? Macam mana ni..

"Ok, abang suka yang ni. Pergi cuba kat dalam bilik tu. Lepas tu kasi abang tengok ok ke tak?" sambil capai baju biru nila yang dihulur Darian, aku angguk perlahan.
Sambil aku menyalin pakaian, terdengar perbualan Darian dengan tuan kedai.

"Yus mana? Dia kata ada shooting kat sini. Dah habis ke?" Yus kerja kat sini hari ni? Alamak, jangan laa sampai bertembung. Malunya aku nanti!

"Hmm, diorang belum habis kerja lagi. Pukul dua karang sambung balik. Kau call aku tadi so aku tutup laa seksyen ni. Baru senang kau nak pilih. Aku kenal kau bukan sehari dua Yan" Haa?? Nak beli baju pun kena buat appoinment dulu ke. Aku ingat nak jumpa VIP dan temuduga je ada temujanji.

"Alaa, bukan apa, aku nak cepat ni. Uci tu datang dengan ibu aku. Kalau lambat kang, takut aku pulak kena marah. Tu yang aku tuju ke sini je" aku agak diorang memang berkawan baik. Selesai acara mencuba baju, aku keluar untuk mintak pendapat abang Yan. Lagipun dia yang bayar baju ni.

"Ehemm.. Macam mana, boleh ke?" aku pusing dua, tiga kali depan Darian tunggu dia komen. Tapi dekat lima minit dia senyap je pandang aku.

"Weh!" sergahan tuan kedai yang cukup menyentakkan Darian.

"Haaa, ok.. Ok.. Err, nanti kejap" kelam kabut je aku tengok dia capai tudung warna senada dengan baju dan sepasang kasut. Lepas salin tudung baru, aku keluar nak salin kasut pulak. Baru aku nak tanya lagi pendapat abang Yan, ternampak dia simpan wallet dalam poket seluar.

"Dah, jom. Kita makan dulu. Lambat ni. Takut orang ramai. Nanti lauk habis" ya Allah, rasa terbatas sangat nak berjalan bila pakai baju macam ni.

Macam mana laa orang yang pakai macam ni boleh jalan laju-laju ek?

1 comment:

  1. ohsem la Tie oiii... alahai tinginnyer tengok si Uci ni.. lepas ni bior dia sesaja melaram depan si Darius tu ekkkk (walaupun nama sama cam ahkak, tp takleh blah ngan ngengada si Yus tu..hehe) jgn lupa kepit2 manja dgn Darian.. mahu meletop satu building tu..hahahaa... TQ dear for this marvelous n3..

    ReplyDelete