jom jadi kawan saya

Friday 7 September 2012

SDG Part 18

Terasa muka aku sejuk direnjis air. Bila tersedar, aku nampak muka Kak Arah. Terus aku peluk dia sambil bisik yang aku ada mimpi ngeri tadi. Aku mimpi yang Isfahan dengan Yaya dah meninggal.

Tapi bila aku perasan yang bahu kakak aku terhinggut-hinggut, aku tolak badan Kak Arah. Memang dia menangis!

“Deng tak mimpi dik. Memang diorang dah takde. Dah, bawak mengucap banyak-banyak. Siap, jom pergi hospital” aku macam orang bodoh ikut je kata Kak Arah.

Aku still genggam telefon dengan harapan Isfaha akan call aku kejap lagi nak bagitau yang dia ok. Dia jugak yang bagitau tadi suruh tunggu. Dalam kereta pun aku tak tau nak rasa apa sebab semuanya macam dalam mimpi buruk aku je situasi ni.

Tak mungkin dia! Aku cuba nak yakinkan diri.

Suasana kat hospital aku rasakan sunyi sangat. Padahal, depan bilik mayat tu penuh dengan orang. Maklumat awal yang kitorang dapat, kereta yang dipandu Isfahan nak elakkan kereta Waja yang hilang kawalan dari arah bertentangan. Mungkin pemandu Waja tu mabuk.

Tiba-tiba Kak Arah dan Abang Aziz datang kat aku. Ajak buat pengecaman mayat. Mula-mula aku menolak. Tak mahu hadapi realiti tapi Isfahan cuma ada aku. Begitu juga Yaya. Aku kuatkan hati walaupun langkah kaki dah rasa ketar yang makin tak terkawal.

Bila melangkah masuk ke ruangan yang disediakan oleh pihak hospital, tak tertahan airmata aku bila terlihat ada dua tubuh terkujur dilitupi kain putih. Satu jenazah dewasa dan lagi satu kanak-kanak. Kencang dalam hati tak terasa bila aliran darah tak menentu. Ya Allah, Kau kuatkanlah hatiku ini.

Tak berdaya aku paut lengan Kak Arah. Perlahan-lahan pengurus jenazah membuka kain putih kedua-dua jenazah, aku longlai terjelepuk bila mata aku sendiri mengesahkan yang itu adalah Isfahan dan Yaya. Cepat-cepat Kak Arah paut aku untuk berdiri semula. Mimpikah aku saat ini?

Perlahan aku sentuh jenazah untuk memastikan sama ada ini mimpi atau realiti. Hancur rasa hati bila terpandangkan merahnya inai yang menyala di jari-jariku saat aku usap wajah Isfahan yang sejuk dan kaku. Tak ada respon langsung. Dalam hati, macam-macam suara terdengar.

Isfahan, kau tinggalkan aku sekarang? Tapi kau yang janji nak datang hantar Yaya kan? Kau dah janji. Kenapa mesti malam ni? Esok kita dah nak nikah Is. Kau nampak tak aku dah pakai inai untuk majlis kita esok? Cepat-cepat Kak Arah sedarkan aku yang ini semua takdir Tuhan semata untuk menguji iman manusia bila tengok bahu aku tersenggut laju menahan tangis.

Aku dipimpin keluar dari bilik tu oleh Kak Arah dan Abang Aziz. Kami menunggu diluar sementara jenazah disiapkan oleh pihak hospital. Keluarga Yaya sampai ketika jenazah hendak dibawa pulang ke rumah.

Atas permintaan aku, jenazah Yaya akan dikebumikan di sebelah kubur Isfahan. Dalam van jenazah, aku hanya mampu memandang sayu Isfahan yang pada pandangan aku sedang tidur lena.

Airmata yang mahu tumpah aku tahan sehabis daya. Tak akan aku biar setitik pun airmata ni mengalir pada hari Isfahan meninggalkan aku di dunia. Tidak di depan jenazah dia kerana aku tahu jika dia di tempat aku sekarang pun dia akan lakukan perkara yang sama.

Aku nak dia tahu bahawa aku cukup berbahagia dengannya biarpun hanya sempat bergelar tunang. Biarpun lagi beberapa jam sahaja aku akan menjadi isterinya yang sah tapi aku redha. Itu sudah menjadi bahagian aku kini.

Awak, saya nak awak tau yang saya tak menyesal dengan takdir ni. Saya doakan semoga awak akan dapat pengganti yang lebih baik daripada saya kat sana.

Yaya, Mama minta maaf tak sempat nak jaga Yaya tapi Mama tau Yaya dah selamat kat sana sayang, di tempat yang lebih baik dari dunia kita. Mama akan lebih rindukan Yaya lepas ni.

Malam yang sepatutnya aku habiskan dengan senyuman menanti hari esok sebagai hari terikatnya antara aku dan Isfahan sebagai suami isteri aku habiskan dengan bacaan Yasiin sebagai hadiah terakhir yang mampu aku berikan sebelum perpisahan duniawi esok pagi.

Pergilah kau dengan tenang Isfahan. Aku akan terus kuat dengan ingatan dan kenangan indah antara kita berdua.

Dalam jam 9 pagi, kedua-dua jenazah selamat dikebumikan. Sungguh aku tak sangka, hari yang aku rancang untuk disatukan dengan Isfahan menjadi hari yang penuh tragedi dalam hidup aku kerana hilang dua orang yang aku sayang sekelip mata.

Kalau mahu dicari salah siapa, memang boleh gila jadinya. Jalan keluar terbaik, percaya kepada qadha’ dan qadar Allah. Aku percaya ada hikmah disebalik semua yang terjadi ni.

Majlis perkahwinan bertukar menjadi kenduri tahlil buat arwah Isfahan dan Yaya. Mata terasa sembab dek tak tidur semalaman. Aku hanya mengalirkan airmata bila terpandangkan baju pengantin yang patutnya aku sarung sekarang dalam perjalanan menuju ke masjid tapi hakikatnya aku hanya mampu membayangkan saja pernikahan yang tak mungkin berlaku tu.

Ucapan takziah daripada tetamu buatkan aku rasa lagi tak tentu arah. Hanya barang-barang peribadi arwah saja yang dapat kurangkan rasa sedih aku. Kak Arah menyuruh aku berehat di bilik mengenangkan emosi yang tak stabil sekarang.

Tak lama aku di dalam bilik, aku keluar semula meminta tolong sepupu-sepupuku supaya menyimpan semua barang hantaran yang disusun dalam bilikku ke bilik lain. Aku tak boleh tengok. Dan kalau boleh aku tak nak sesiapa pun sentuh barang yang dihadiahkan Isfahan kepadaku. Lepas semua barang dikeluarkan, aku hanya termenung di tepi katil.

“Sudah-sudah laa tu. Dia yang dah pergi, dah selamat pun. Kita kat sini jangan menyeksa diri. Kalau arwah tau, mesti dia pun tak suka Deng macam ni. Jamah sikit apa-apa, alas perut tu. Dah nak habis Zohor ni” lama betul aku melayan perasaan.

Tapi aku tak rasa lapar langsung. Tak lama lepas tu Kak Arah datang balik bawak susu segelas. Lepas solat, aku rasa tenang sikit tapi tak berganjak dari sejadah membaca Yasiin untuk kedua-dua arwah.



Majlis tahlil yang berlangsung sedikit sebanyak menimbulkan kebingungan kepada tetamu kerana ramai yang tak tahu tragedi yang menimpa arwah malam tadi. Jadi ada sebahagian tetamu yang membawa hadiah majlis perkahwinan dan menyampaikan ucapan tahniah yang mampu aku balas dengan senyuman sayu dan airmata.

Alhamdulillah ada Kak Arah dan Abang Aziz yang menerangkan keadaan sebenar.
Bukan sedikit ucapan takziah yang aku terima selain pandangan simpati. Takpe laa. Orang boleh bercakap dan memandang tapi yang menanggungnya aku sendiri.

Petang tu jugak aku dah pergi ziarah kubur. Hilang sikit rasa rindu dalam dada. Padahal aku cuma bercakap dengan tanah yang masih merah. Kak Arah tak izinkan aku berlama-lama kat situ. Aku hanya ingin mengusap nisan kayu sebagai pelepas rindu. Lepas siram air mawar, aku melangkah pergi dengan janji akan datang lagi esok.

“Tak salah abang, dah dua minggu Deng tu macam tu. Asyik ulang alik aje kat kubur arwah si Isfahan tu. Kena tegur tu Arah. Mana boleh biar dia leka je. Sampai bila nak hanyut macam tu?” aku dengar suara Abang Aziz tegur kakak aku.

Kesian Kak Arah, tak pasal-pasal terbabit. Sorry kak, bukan niat Deng nak jadi macam ni tapi hati rasa tak kuat lagi.

“Takpe laa bang. Kita pun kena laa faham keadaan dia. Kira kuat jugak laa budak tu. Kalau orang lain, mau gila jadinya. Mana tak, dah nak nikah jadi macam tu. Kita doa je laa biar dia ok cepat” memang Kak Arah sayang dan paling memahami aku. Terima kasih kak. Airmata lesu seakan tak boleh diempang.

“Kena suruh dia buat benda lain sayang oii. Alihkan fokus dia tu. Orang yang dah pergi, tak kan ada balik. Suruh dia keluar dengan kawan-kawan dia. Pergi bercuti ke, reunion ke. Jangan terperap je macam tu. Dia tu bukannya janda berhias pun nak asingkan diri sampai macam tu sekali” macam mana aku nak bersosial bang kalau nak tengok keluar pun macam ternampak-nampak Isfahan dengan Yaya ada lagi.

“Orang perempuan ni bang, jiwa halus tau. Benda macam ni mana boleh kita plan nak buat macam mana. Sampai waktu nanti, dia ok laa. Tak payah kita nak paksa-paksa dia lagi. Saya tau adik saya macam mana. Just bagi dia masa, support jangan bagi dia rasa kosong sangat” dengar kata-kata Kak Arah buat aku rasa sebak.

Aku peluk lagi baju melayu arwah Isfahan yang kitorang tempah dulu. Hiasan dalam bilik pun aku tak ubah lagi. Aku nak biar kenangan kitorang kekal macam ni. Walau dah dua minggu arwah pergi tapi airmata aku sentiasa ada bila teringat dia dan Yaya.

Seketika waktu berlalu hinggakan aku mampu untuk singgah ke sini saban petang. Banyak juga yang aku suarakan walau hakikatnya aku cuma berbual dengan batu nisan.
Dah dua bulan jugak laa aku jadi pengunjung setia kubur diorang. Pokok puding dan kemboja yang aku tanam pun dah naik. Rasa lega lepas melawat tempat tu.

Sejak kebelakangan ni ada jugak pekerja Isfahan datang melawat kat rumah. Hmm, takde kena mengena dengan aku pun. Diorang nak cari abang Aziz kot sebab bisnes tu kan joint-venture diorang berdua. Aku tak peduli. Bukan hal aku.

“Kak Arah, kalau akak rasa tak selesa nak temankan Deng kat rumah ni takpe. Deng boleh duduk sendiri. Lagipun, order baru dah mula masuk. Takde laa Deng melongo je tak tentu hala macam dulu. Betul kata Abang Aziz, kena buat benda lain. Akak tak payah risau. Deng ok je” aku rasa bersalah pulak tengok Kak Arah dan Abang Aziz asyik berulang alik antara rumah diorang dengan rumah aku dalam dua bulan ni semata-mata nak temankan aku. Dia pun ada kehidupan sendiri suami isteri.

“Kenapa Deng cakap macam tu. Kita lepaskan dulu sampai arwah 100 hari ye. Lepas tu nanti baru akak balik rumah akak” aku menarik nafas lega tengok dia tersenyum ikhlas. Macam tak percaya je yang dunia aku kini hanya rumah dan tanah kubur. Aku takde hati nak ke mana-mana walau di ajak Kak Arah teman pergi beli barang kat pasaraya.

Dalam hati aku teragak, macam mana laa orang yang bercerai mati selepas berpuluh tahun kahwin tu. Dan selepas dua bulan jugak baru aku dapat rasa yang aku dah boleh tersenyum tanpa keluar airmata. Walau rindu tetap sarat dalam dada tapi aku yakin Tuhan takkan biarkan aku sakit selamanya.

Masih terhidu lagi harum bunga rampai yang dihiris malam sebelum akad nikah menjadi ganti isi lapik bantal untuk jenazah dan sebahagian lagi dibuat taburan di pusara. Sebab tu aku suka sangat ziarah ke kubur arwah. Ianya dapat mengingatkan aku betapa hampirnya waktu untuk menjadikan aku bidadari dunia kepada lelaki bernama Isfahan.

Tapi selepas rutin yang sama dilakukan selama dua bulan ni seakan-akan menyedarkan aku bahawa itu semua hanya mimpi yang tak akan mungkin jadi nyata. Dan yang pasti aku harus keluar dari mimpi tu.

Perlahan-lahan aku lurutkan cincin tunang pemberian Isfahan untuk aku simpan dan sebagai tanda aku nak mulakan langkah baru dalam hidup aku.

Maafkan aku Isfahan. Kerana sayangkan kaulah aku buat semua ni. Bukan aku sengaja nak lupakan kau tapi aku tak nak terus hanyut dalam mimpi yang tak sudah.
Demi Tuhan, kau selalu ada dalam doaku lima waktu sehari, insyaAllah.

Pesanan yang tak menentu sedikit sebanyak menjejaskan perbelanjaan bulananku. Baik juga ansuran rumah dan kereta dah dilangsaikan arwah Isfahan dulu. Kalau tak, mau pening juga kepala nak cekau duit untuk selesaikan semua tu.

Esok genap 100 hari Isfahan dan Yaya pergi dan kenduri tahlil malam nanti hanya dibuat di masjid saja. Aku tak ada hati nak buat kat rumah. Terlalu banyak kenangan dengan mereka kat sini. Tapi seiring masa berlalu, aku semakin kuat menerima kenyataan hidup. Yang pergi takkan kembali.

Petang tu, aku dapat panggilan daripada Azila. Suara dia amat terkejut dengan kejadian yang berlaku dan meminta maaf kerana lambat menghubungiku kerana berada di tanah suci. Aku bersyukur sekurang-kurangnya dia bertanya khabar. Tengah bersiap-siap nak ke masjid, Abang Aziz menyatakan sesuatu yang membuatkan aku agak terkejut.

“Deng, arwah ada membuat keputusan untuk menamakan kamu sebagai pemegang amanah jika sesuatu berlaku kepadanya dan akan menyerahkan sahamnya kepada kamu dan Yaya tetapi memandangkan Yaya pun dah tak ada, jadi semua saham arwah akan pergi kepada kamu. Esok, peguam akan memberikan surat perlantikan secara rasmi kepada kamu. Abang harap kamu akan terima kerana ini juga peluang kamu untuk meneruskan bakti arwah kepada anak yatim.” jelas Abang Aziz tentang rancangan jangka panjang arwah tentang perniagaannya.

Baru aku tau, yang perniagaan arwah bukan hanya tentang minyak wangi semata-mata. Banyak lagi cabang perniagaan yang lain tetapi di bawah seliaan pegawai yang bertanggungjawab. Kiranya tak laa aku terasa beban sangat. Cuma perlu memantau dari jauh dan menjaga aliran akaun syarikat saja.

Bila memikirkan tentang sumbangan bulanan yang dihulurkan kepada rumah-rumah anak yatim yang tidak lagi disalurkan selepas kematian arwah, membuatkan aku tak fikir panjang untuk menerima tawaran tu. Ada jugak benda lain aku nak buat. Selain elaun yang mencukupi, amal jariah arwah dapat diteruskan. Aku buat ni ikhlas kerana Allah, Isfahan.

Aku tersenyum kelegaan kini.

2 comments:

  1. huwarrrgghhhh!!!! cedeynya!
    mata haku dah ler sedia pedih psl x cukup tdo. baca entry nie buatkan xpasal2 meleleh2 air mataku.huhuuhuhu... ko mmg kan dak yati!
    pape pun... thumbs up! :)

    ReplyDelete
  2. sedih sebak sume ada... :( aku amat terasa kehilangan Isfahan wlupun aku xnak dia kawen ngn Deng... huhu

    Deng kuatkan semangat. ko kan gengster, jgn mengalah pada takdir. chaiyok!

    ReplyDelete